• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

DUNGUN, 7 Januari - Perasaan gembira dan redha jelas di muka bakal pengantin lelaki, Mohd Al Hafiz Razilah, 32, ketika meredah banjir di Kampung Rantau Panjang di sini bagi menghadiri majlis ijab kabulnya, pagi tadi. 

Hafiz yang juga kakitangan awam berkata, rumahnya tidak dinaiki air, namun jalan menghubungkan kampungnya ke luar Bukit Besi digenangi air paras pinggang.

"Persiapan kahwin telah lama buat tapi bila ditimpa musibah ini, ia suatu pengalaman besar yang tidak boleh dilupakan terutamanya dengan banjir besar sebegini. 

"Barang hantaran semua selamat setelah dipindahkan ke rumah kakak, sekarang ini dengan baju pengantin di tangan akan bertukar pakaian di masjid berdekatan.

"Sekarang saya bersama ibu saya akan ke rumah pengantin perempuan, Nur Fatihah Hashim, 30, di Kampung Nyior Paka," katanya ketika ditemu bual pemberita hari ini.

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita di Kampung Rantau Panjang.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman yang turut berada di tempat kejadian berkata, pihaknya sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga bagi memudahkan urusan rakyat.

"Hari ini kami dalam bagi pengagihan bantuan keperluan harian kepada mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kampung Rantau Panjang," jelasnya

Menurut laporan banjir terkini sehingga jam 2.00 petang, situasi banjir di Dungun merekodkan dua PPS baharu dibuka menjadikan keseluruhan kepada 11, melibatkan 336 keluarga terjejas terdiri daripada 1159 orang mangsa.