• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Redah Hutan Lebih 5 Jam Cari Pengundi Orang Asli

HULU TERENGGANU, 10 Ogos - Dua hari sebelum menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri ke 15 (PRN15), Ibrahim Awang, 57, sanggup meredah perjalanan lebih tiga jam menaiki bot dan berjalan kaki selama dua jam untuk mencari penduduk Orang Asli Sungai Berua yang bekerja jauh di pedalaman sempadan Terengganu-Pahang untuk pulang mengundi pada 12 Ogos nanti.

Dia yang juga pembantu Tok Batin Orang Asli Semaq Beri di Sungai Berua turut dibantu oleh beberapa orang asli lain termasuk anak-anaknya sendiri.

"Bagi memastikan semua 270 pengundi Orang Asli Kampung Sungai Berua menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih, saya nekad untuk mencari mereka di Gunung Bewah dan hutan sempadan Terengganu-Pahang.

"Usaha itu dilakukan sejak beberapa lalu bagi memastikan semua mereka datang mengundi pada hari Sabtu ini dan saya melihat usaha itu amat berbaloi kerana semua Orang Asli kawasan ini pulang untuk mengundi," katanya kepada pemberita.

Katanya, walaupun mengambil masa lama berikutan jarak yang jauh selain bentuk muka bumi yang perlu ditempuhi, ia tidak mematahkan semangat untuknya menjejak anak-anak buahnya yang berada di luar kawasan bekerja mencari hasil hutan.

Ibrahim berkata, agak sukar untuk menjejak semua Orang Asli yang bekerja jauh di pedalaman, tetapi dengan kaedah tertentu mereka dapat ditemui dan dipujuk untuk pulang awal sebelum hari pengundian.

"Syukur Alhamdulillah, mereka memberi kerjasama yang baik dan insya Allah pada hari pengundian nanti kami akan berkumpul terlebih dahulu sebelum bergerak ke pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Tapah, menggunakan kenderaan sendiri selain bantuan kenderaan daripada perayu undi," katanya.