Berita :
Reformasi Fiskal Persekutuan-Negeri Perlu Disegerakan
Reformasi Fiskal Persekutuan-Negeri Perlu Disegerakan
Adli Mohamad
1 jam yang lepas
85

KUALA TERENGGANU, 11 Mei — Reformasi fiskal antara kerajaan Persekutuan dan negeri perlu disegerakan bagi memastikan hubungan kedua-dua pihak lebih adil serta tidak menjadikan negeri terlalu bergantung kepada Putrajaya.

Pegawai Eksekutif Strategi Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), Eikhwan Ali berkata, tanpa reformasi itu, timbul persoalan sama ada Malaysia mampu terus kekal dinamik dalam jangka panjang.

Menurutnya, walaupun Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa tertentu kepada negeri, sumber hasil utama seperti cukai pendapatan, cukai korporat dan cukai jualan masih dikawal hampir sepenuhnya oleh kerajaan Persekutuan.

“Negeri pula bergantung kepada hasil terhad seperti tanah, hutan dan cukai tempatan. Akibatnya, kebanyakan negeri tidak mempunyai kapasiti fiskal mencukupi untuk membiayai pembangunan sendiri.

“Mereka terpaksa bergantung kepada geran, peruntukan dan kelulusan pinjaman daripada Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan.

Eikhwan berkata, keadaan menjadi lebih rumit apabila struktur fiskal yang berpusat bercampur dengan persaingan politik kepartian.

Katanya, dalam sistem yang terlalu bergantung kepada pusat, peruntukan pembangunan berisiko menjadi alat politik, terutama terhadap negeri yang ditadbir pembangkang.

“Apabila keputusan fiskal dipengaruhi pertimbangan politik, pembangunan negara menjadi tidak seimbang.

“Negeri yang sudah maju terus menerima limpahan pelaburan dan infrastruktur, manakala negeri yang lemah terus bergelut dengan kekangan kewangan,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman Terengganu sering menjadi contoh jelas kelemahan amalan federalisme di Malaysia, khususnya membabitkan isu royalti petroleum.

Katanya, selepas pembangkang mengambil alih pentadbiran negeri, pembayaran royalti petroleum disekat pada 1999 dan pasca PRU15 pula diperketat dengan pelbagai kawalan.

“Kesannya bukan sekadar terhadap kedudukan kewangan negeri, malah turut mempengaruhi hubungan birokrasi, pelaksanaan projek, keyakinan pelabur dan kebajikan rakyat,” katanya.

Eikhwan berkata, Terengganu merupakan negeri kaya sumber asli dan hasil petroleum, namun kekuatan itu tidak semestinya diterjemahkan kepada autonomi fiskal yang lebih besar.

Menurutnya, pemusatan kuasa turut menjejaskan kecekapan ekonomi apabila dasar pembangunan gagal mengambil kira realiti tempatan yang berbeza antara negeri.

Justeru, beliau berkata reformasi federalisme fiskal perlu dirintis segera, termasuk memperluas autonomi hasil negeri, mewujudkan agihan geran Persekutuan yang lebih telus dan memberi ruang lebih besar kepada negeri merancang projek pembangunan tempatan.

Namun, katanya reformasi itu mesti disertai ketelusan dan akauntabiliti di peringkat negeri.

“Desentralisasi tanpa tadbir urus yang baik hanya akan memindahkan masalah dari pusat ke negeri.

“Reformasi fiskal dan hubungan Persekutuan-negeri ini bukan bertujuan melemahkan kerajaan pusat, sebaliknya membina negara yang lebih seimbang, berdaya tahan dan inklusif untuk masa hadapan,” katanya.



Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan