Berita :
Saya Tidak Akan Rayu – Rosol Wahid
Saya Tidak Akan Rayu – Rosol Wahid
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
6

Oleh : Muhammad Aqil Mat Ali

KUALA TERENGGANU, 11 Mei – Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid mengesahkan beliau telah menerima surat pemakluman berhubung penggantungan keahliannya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bagi tempoh dua penggal.

Menurutnya, surat daripada Pengerusi Lembaga Disiplin parti bertarikh 29 April itu diterima menerusi aplikasi WhatsApp.

Beliau turut menegaskan bahawa tidak akan mengemukakan sebarang rayuan terhadap keputusan penggantungan tersebut.

“Saya menghargai segala peluang dan ruang yang telah diberikan oleh BERSATU sepanjang penglibatan dalam parti itu.

“Saya mengakui BERSATU telah banyak memberi peluang dan sumbangan dalam perjalanan politik saya, dan saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta terima kasih atas perkara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Walau bagaimanapun, beliau berpandangan terdapat beberapa perkembangan dan tindakan dalam parti kebelakangan ini yang dilihat kurang selari dengan asas perjuangan serta tidak konsisten dalam pelaksanaannya.

Rosol turut menyuarakan kebimbangan mengenai semangat Amar Makruf dan Nahi Mungkar yang menurutnya semakin terhakis dalam beberapa keadaan.

Dalam masa sama, beliau berpandangan Lembaga Disiplin parti memerlukan penambahbaikan khususnya dari segi ketelusan serta pemisahan fungsi siasatan, pendakwaan dan keputusan supaya lebih selari dengan prinsip keadilan parti.

Menurutnya, keadaan itu penting bagi memastikan kredibiliti institusi parti terus dipelihara.

“Lembaga Disiplin dilihat semakin hilang kredibiliti kerana entiti yang sama menyiasat, membuat tuduhan, mendakwa dan menjatuhkan hukuman,” jelasnya.

 


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan