• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Rela Berpanasan Agih Bubur Lambuk

KUALA TERENGGANU, 3 April – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Terengganu rela berpanasan demi mengagihkan bubur lambuk kepada masyarakat setempat di sini baru-baru ini.

Pegawai PERKIM Negeri Terengganu, Mohd Subri Jaafar berkata bersempena dengan kehadiran bulan Ramadan yang penuh mulia ini, pihaknya berkongsi rezeki dengan orang ramai melalui agihan bubur lambuk. 

Katanya, untuk fasa pertama, bubur lambuk telah diagihkan di persimpangan laluan kenderaan berhampiran bangunan KOPTER PERKIM Center (KPC) Ladang Tok Pelam.

"Penyediaan bubur lambuk tersebut adalah hasil daripada sumbangan orang ramai untuk aktiviti Perkim pada bulan puasa ini.

“Lebih 200 bekas bubur lambuk berjaya diagihkan kepada masyarakat mahupun pengunjung yang melalui kawasan itu," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini.

Tambah Mohd Subri, biarpun bahang mentari cukup memeritkan, apatah lagi kemarau melanda Kuala Terengganu sekarang, komitmen padu melaksanakan amanah infaq orang ramai tetap diteruskan .

Tambahnya lagi, seramai lapan orang kakitangan Perkim yang terlibat dalam pengagihan bubur lambuk tersebut.

Beliau berkata, ia sebagai tanda keprihatinan dan memupuk semangat perkongsian Perkim kepada orang ramai pada bulan yang mulia ini.

“Agihan seterusnya akan dilaksanakan sekiranya terdapat pihak yang sudi menyalurkan infaq kepada kami.

“Terima kasih buat semua yang menyumbang untuk agihan ini, semoga amalan kita semua diterima-Nya,” ujarnya.

 


Tag: