• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Remaja Bawah Umur Dicekup Berdua-duaan

KUALA TERENGGANU, 1 Januari - Dua remaja bawah umur ditahan pegawai penguatkuasa syariah (PPS) Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dalam operasi pencegahan jenayah syariah, awal pagi ini.

Dalam Op Ambang Tahun Baharu itu, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun ditahan ketika berdua-duaan dalam kenderaan bersama seorang remaja lelaki berusia 17 tahun pada jam 2.30 pagi di kawasan parkir Pantai Batu Buruk.

Tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) bersama penguatkuasa PPS mendapati ketika ditemui remaja lelaki itu berada dalam keadaan tidak berbaju manakala remaja perempuan berpakaian lengkap.

Kedua-dua remaja berasal dari Marang dan Dungun itu dibawa ke ibu pejabat agama daerah (PAD) Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut pada kira-kira 2.45 pagi.

Sekiranya didapati bersalah, kedua-duanya boleh didakwa di bawah Seksyen 31 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 atas eksalahan khalwat yang boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Pihak UPDI masih belum menerima maklumat lanjut berhubung kes terbabit daripada Ketua Unit Penguatkuasaan PAD Kuala Terengganu, Mohd Nordin Abd. Aziz disebabkan pasangan tersebut di bawah umur.

Dalam operasi berkaitan, Skuad Amar Makruf Nahi Mungkar (Skuad Amar) Terengganu di bawah kelolaan Dewan Pemuda PAS Terengganu mengedarkan risalah dakwah di sekitar daerah ini.

Langkah berkenaan bertujuan mendidik dan menyedarkan masyarakat tentang larangan serta suruhan agama Islam.


Tag: