• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Remaja Ditemui Lemas Dalam Sungai

HULU TERENGGANU, 4 Jun - Remaja lelaki yang dikhuatiri lemas ketika  mandi-manda di Sungai Terengganu berhampiran Kampung Dusun di sini telah ditemui mati lemas pada Ahad.

Mayat Muhammad Adam Shazwan Mokhtar, 15, dari Kampung Dusun di sini ditemui kira-kira jam 1.05 petang dalam keadaan terapung di kawasan Sungai di Kampung Temir kira-kira tiga kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Hasmerra Hassan, berkata mayat mangsa ditemui oleh orang kampung sebelum perkara itu dimaklumkan kepada pasukan keselamatan yang sedang melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Polis merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Pertahanan Awam, Rela dan agensi-agensi lain  termasuk penduduk kampung yang turut serta membantu dalam operasi mencari mangsa sejak petang Jumaat," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan rumah mayat Hospital Hulu Terengganu di sini hari ini.

Menurutnya lagi, susulan penemuan mayat mangsa, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan tepat jam 3 petang.

Pada Jumaat lalu, seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas setelah dibawa arus deras ketika mandi-manda di Sungai Terengganu dekat Kampung Dusun.

Dalam kejadian tersebut, mangsa, Muhammad Adam Shazwan Mokhtar, 15, dipercayai dihanyutkan arus deras ketika sedang berenang menyeberangi sungai tersebut bersama seorang rakan.