• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Remaja Kemaman Tikam Bayi Diberi Intervensi

PUTRAJAYA, 17 Februari - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menjelaskan pihaknya sudah memberi intervensi secara menyeluruh kepada remaja dari Kemaman yang disyaki menikam seorang bayi lelaki yang baru dilahirkannya.

Kementerian tersebut melalui kenyataannya berkata, intervensi berkenaan dibuat menerusi pendekatan psikososial demi kebajikan remaja terbabit, selepas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyantuni suspek serta ibunya pada 8 Februari lalu.

Katanya, kanak-kanak yang berdepan konflik undang-undang perlu diuruskan melalui peraturan dan perundangan sedia ada seperti seperti Akta Kanak-kanak 2001 dan Konvesyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).

“Sepanjang remaja terbabit berada dalam tahanan polis, sama ada di lokap atau hospital, JKM membuat lawatan dan menyalurkan bantuan bersesuaian, termasuk perkhidmatan psikologi.

“Ibu remaja terbabit juga diberi kaunseling dan intervensi awal, bagi memastikan kestabilan emosi keluarga dalam menghadapi situasi mencabar ini. Pendekatan menyeluruh melalui pendidikan seksual reproduktif, kesedaran dan kaunseling serta khidmat nasihat untuk wanita sedang menjalani kehamilan tidak diingini perlu dipertingkat, bagi mengelakkan hal sama berulang,” katanya melalui kenyataan tersebut sebagaimana yang dilaporkan oleh Berita Harian, semalam.

Pada minggu lalu, dilaporkan seorang bayi lelaki baru dilahirkan, ditemui mati dipercayai ditikam ibunya yang berusia 15 tahun dalam kejadian di sebuah rumah di Daerah Kemaman, Terengganu.

Remaja terbabit telah melahirkan bayi berkenaan sebelum bertindak meminta rakannya menghubungi klinik kesihatan berhampiran memaklumkan kejadian itu.

Kakitangan perubatan mendapati bayi dilahirkan itu sudah meninggal dengan kesan tikaman di dada dipercayai dilakukan oleh ibunya sendiri, sebaik tiba di rumah mangsa.

Dalam pada itu pihaknya berkata, pelbagai inisiatif telah diambil bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk menyediakan peti pelindungan bayi, bagi mengelakkan kes pembuangan bayi terus berlaku.

Katanya, bayi yang dibuang itu akan mendapat hak penjagaan keluarga dan kasih sayang melalui permohonan anak pelihara namun ia bukanlah satu-satunya penyelesaian bagi membendung kes pembuangan bayi daripada terus berlaku.

“Melalui JKM kita juga turut menyediakan perkhidmatan perlindungan segera di empat Taman Seri Puteri, bagi individu di bawah 18 tahun dan tiga pusat jagaan Sinar Kasih, bagi memberi jagaan dan perlindungan segera kepada wanita hamil luar nikah, termasuk bayi yang dilahirkan,” katanya


Tag: