• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Rentas Negeri Dibenar : Rakyat Perlu Lebih Bersedia

KUALA TERENGGANU, 10 Oktober - Kerajaan Terengganu meminta kerjasama semua rakyat negeri ini untuk meningkatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) selepas aktiviti rentas negeri dibenarkan.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara tersebut perlu diberi perhatian daripada pelbagai aspek oleh semua pihak.

"Tidak dapat tidak, itulah keadaan yang kita kena hadapi bukan sahaja di Terengganu tetapi di semua negeri. yang akan berdepan suasana sama.

"Kita perlu melakukan persediaan minda dan fizikal bagi hidup dalam keadaan endemik iaitu kita tidak dapat lari daripada virus di sekeliling kita, cuma ia harus diuruskan.

"Yang penting ialah pematuhan SOP, segala aktiviti 'outdoor' samada pelancongan atau sukan sekalipun akan memiliki SOP tersendiri dan yang paling asasnya ialah penjarakan sosial dan memakai pelitup muka di tempat-tempat awam," katanya.

Dr. Samsuri menyapa pemenang Virtual Ride yang dilangsungkan sempena Hari Sukan Negara peringkat Negeri Terengganu.

Beliau berkata demikian dalam sidang kedia selepas merasmikan Hari Sukan Negara 2021 peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, semalam.

Hadir bersama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Mohd Zahari Md Azahar, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT), Mohd Izwandy Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah.

Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.

Tambah Dr. Samsuri, kita boleh bersedia apabila kadar vaksinasi mencapai 90 peratus di seluruh Malaysia tidak lama lagi.

"Beberapa hari lepas, kita berada pada kadar lebih kurang 85 peratus bagi dos kedua dan kita akan capai dalam kadar yang ditetapkan dalam masa terdekat," katanya.


Tag: