• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Rentas Negeri: Pengguna lebuh Raya LPT2  Disaran Patuh SOP  Di R&R, Hentian Sebelah

KUALA TERENGGANU, 15 Oktober - Orang ramai yang menggunakan laluan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) disarankan  supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) apabila berada di kawasan awam seperti di kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah.

Pengurus Perniagaan Wilayah LPT2, Suhaimi Samat berkata,ia berikutan susulan jangkaan peningkatan trafik bermula hujung minggu ini hingga cuti umum Maulidur Rasul, Selasa depan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar memakai pelitup muka, mengimbas kod MySejahtera, memeriksa suhu badan dan menjaga jarak fizikal termasuk ketika beratur mendapatkan makanan.

“Kami mengalu-alukan semua pelanggan untuk singgah di lima hentian rehat dan rawat (R&R) serta empat hentian sebelah dan bagi yang ingin makan secara ‘dine in’ di medan selera, mereka perlu menunjukkan status vaksinasi Covid-19 ketika membuat pesanan di gerai yang beroperasi.

“Setiap pelanggan akan menerima pelekat hijau sebelum memasuki ruang makan dan sekiranya berlaku kesesakan hingga menjejaskan penjarakan fizikal, maka LPT2 serta rakan peniaga akan menawarkan pembelian makanan secara bungkus,” katanya dalam kenyataan di sini.

Suhaimi berkata, semua kemudahan di R&R dan hentian sebelah LPT2 sentiasa dibersihkan serta dinyah kuman mengikut jadual.

Di samping itu, katanya, berkata umat Islam yang ingin menunaikan solat di surau R&R juga perlu dihadkan dan disaran membawa kelengkapan solat sendiri seperti telekung serta sejadah.

"Pihak kami  komited menyediakan pengalaman perjalanan yang selamat dan selesa kepada para pelanggan,"ujarnya.