• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

REPSOL Sumbang Kit Keselamatan COVID-19

KUALA TERENGGANU, 5 Oktober - REPSOL Oil & Gas Malaysia Limited telah menyumbang kit keselamatan COVID-19 kepada tujuh buah sekolah-sekolah rendah di sekitar Kuala Terengganu bagi mewujudkan keadaan pembelajaran yang selamat buat semua, baru-baru ini.

Selaku wakil REPSOL Oil & Gas Malaysia Limited, Muhammad Suip, berkata, syarikat tersebut menitikberatkan tanggungjawab sosial syarikat terhadap komuniti-komuniti di mana ia beroperasi.

"Oleh itu, kami telah mengatur inisiatif usaha pengumpulan dana di antara kakitangan dan juga dari syarikat REPSOL untuk membantu sekolah-sekolah menentang penularan pandemik ini. 

"Kit keselamatan COVID-19 yang disumbangkan bertujuan membantu pihak sekolah memastikan persekitaran yang selamat bagi pelajar-pelajar, guru-guru dan kakitangan-kakitangan sekolah," katanya.

Antara sekolah yang menerima sumbangan tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Serada, SK Paloh, SK Pulau Rusa, SK Durian Mas, SK Kebor Ayer, SK Pulau Manis dan SK Bukit Petiti.

Sementara itu, setiap kit keselamatan yang disumbangkan mengandungi pendispen pembersih tangan automatik , dispensar pembersih tangan yang dipasang di dinding,  pengisian semula pembersih tangan, topeng pelindung muka untuk tenaga pengajar, topeng pelintup muka & hidung bersaiz kanak-kanak dan termometer tanpa sentuh. 

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan program kali ini.

"Setinggi-tinggi tahniah daripada REPSOL kepada semua 'frontliners' termasuk Kementerian Kesihatan, doktor dan pasukan paramedik dan juga semua agensi-agensi awam, swasta serta semua yang terlibat yang terus melangkah dengan tabah untuk menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia walaupun risiko jangkitan wabak pada ketika itu adalah tinggi," tambahnya.