• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Residensi Bayas Pelopor Penggunaan IBS

KUALA TERENGGANU, 17 Ogos - Projek Perumahan Residensi Bayas menjadi pelopor di negeri ini yang menggunakan sistem pembinaan IBS Mega Wall (penggunaan besi H-Frame sebagai tetulang dinding konkrit).

Pengurus Besar P-Excell Management Sdn. Bhd., (PEMSB) Mohd Anuar Abdullah berkata, kaedah yang dibangunkan 'Mega Bulding System' itu amat menjimatkan masa, mampu mengurangkan kos dan kebergantungan kepada tenaga buruh berbanding pembinaan kaedah konvesional.

“Bagi fasa pertama projek perumahan ini, sebanyak 55 unit rumah teres dua tingkat dengan empat variasi berbeza telah didirikan di atas tanah berkeluasan empat ekar daripada 10 ekar dan baki enam ekar lagi bagi fasa kedua yang masih dalam peringkat akhir kelulusan. 

“Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat tahun ini disebabkan terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk pandemik COVID-19, siri-siri PKP serta gangguan dalam rantaian bekalan bahan binaan sedikit sebanyak telah menjejaskan perancangan penyiapan asal.

“Namun dengan penggunaan teknologi binaan terkini, projek ini masih lagi dikategorikan menepati waktu pembinaan dan kita sasarkan supaya penyerahan kunci kepada semua pembeli berjaya dilakukan dalam suku keempat tahun ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurut Anuar, Residensi Bayas fasa satu telah habis terjual dan mendapat sambutan yang amat memberangsangkan apabila pembeli mengetahui kualiti menggunakan kaedah pembinaan ini walaupun pada peringkat awalnya masih mendapat keraguan daripada pembeli. 

“Selepas ini PEMSB akan menjadi pemangkin kepada syarikat-syarikat perumahan lain bagi penggunaan kaedah IBS ini. 

“Pada masa ini PEMSB telah menandatangani Perjanjian Persefahaman dengan Mega Building System sebagai rakan strategik bagi pembangunan projek perumahan di Negeri Terengganu termasuk projek baru PEMSB yang bakal dilaksanakan di Batu Hampar dimana sebanyak 69 unit yang turut menggunakan kaedah pembinaan ini,” ujarnya.

Anuar berkata, beliau amat mengalu-alukan mana-mana pemaju yang berminat dengan penggunaan sistem IBS ini untuk berbincang dan berkongsi teknologi.

Terdahulu, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) cawangan Terengganu yang diketuai pengerusinya, Mohamad Hishamudin Muda telah mengadakan lawatan ke projek Residensi Bayas fasa satu yang dimajukan oleh PEMSB yang merupakan syarikat di dalam kumpulan syarikat PMINT.

Menurut Hishamudin, lawatan seumpama itu merupakan aktiviti berkala REHDA bagi memberi pendedahan kepada ahli-ahli berkenaan perkembangan pasaran hartanah, kaedah pembinaan dan teknologi disamping menjadi tunjang kepada pemaju perumahan dalam menangani isu-isu berkaitan pemajuan hartanah.
 


Tag: