• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445
Antara ubi yang boleh didapati di Gerai Jagung sepanjang jalan di Kampung Gaung


Musim tengkujuh bagaikan satu pesta yang ditunggu-tunggu oleh penduduk tempatan terutama peminat makanan tradisional seperti ubi yang mendapat permintaan mendadak sebaik sahaja tiba musim itu.

Bagi peniaga ubi seperti ubi kayu, ubi keling, ubi torok, ubi itik dan ubi gajah, musim tengkujuh membawa rezeki berganda kepada mereka apabila ianya menjadi pilihan utama penduduk sebagai makanan sampingan apabila hujan turun berterusan.

Tinjauan Teganukita mendapati di sepanjang jalan di daerah ini terutama di simpang Gaung terdapat deretan gerai yang menjual pelbagai jenis ubi dengan harga yang murah, sudah tentu menggamit rasa.

Kelsom Seman


Seorang peniaga, Kelsom Seman,55, berkata, dia yang berniaga sejak 17 tahun lalu, menjual pelbagai hasil tanaman seperti jagung, kacang, kerepek dan aneka pilihan ubi bagi memenuhi permintaan pelanggan tempatan termasuk pelancong luar.

“Kebanyakan hasil yang mak cik jual ini dibeli daripada orang-orang kampung secara tak langsung membantu sedikit sebanyak ekonomi mereka. Kalau musim boh (tengkujuh) ubi yang paling laku(laris)sebab ramai yang suka sangat makan mengikut cara mereka masak kat rumah.

"Mak cik jual ubi ini dengan harga RM4 hingga RM5 sekilogram mengikut jenisnya tapi tak bolehlah nak jual mahal sebab lambakan jualan ubi di musim hujan. Kalau nak orang datang beli dari kita, kenalah jual murah sikit,"katanya ketika ditemui di Kuala Berang, semalam.


Zabariah Ahmad


Bagi Zabariah Ahmad, 66, sudah berpengalaman selama 40 tahun berniaga tidak menafikan bahawa jualan ubi meningkat secara mendadak apabila tiba musim bah.

“Memang jualan ubi ni meningkat sekali ganda bila tiba musim hujan terutama bagi ubi yang hanya boleh didapati setahun sekali seperti ubi badak, ubi torok, ubi itik dan ubi keling.

"Kalau musim biasa tak lah banyak sangat dapat jual contohnya ubi kayu adalah dalam 10 kilo sehari tetapi berbeza di musim hujan kerana ubi yang dijual lebih dari biasa kerana mendapat sambutan menggalakkan.

“Ubi yang dijual di sini, ada yang diambil dari penduduk di sekitar kampung termasuk mak cik beli daripada peraih” katanya.

Seorang pembeli, Aminah Salleh,45, berkata, sudah menjadi satu tradisi kepada dia dan keluarga menikmati ubi rebus setiap kali musim tengkujuh.

"Kebiasaan ubi torok dan ubi gajah menjadi pilihan saya kerana rasanya yang enak apabila dimakan dengan kelapa parut yang digaul bersama gula bersama kopi panas pekat di waktu petang,"katanya.

Tag: