• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Ribut : Kerajaan Negeri Salur Bantuan Segera

KUALA TERENGGANU, 7 Julai - Bantuan segera untuk mangsa ribut di Terengganu akan disalurkan sebaik selesai siasatan dan laporan berhubung kerugian serta jumlah mereka yang terkesan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). 

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, beliau telah membentangkan perkara itu di dalam  Mesyuarat Mingguan Exco pada hari ini.

"Saya telah maklumkan dalam Mesyuarat Mingguan Exco tentang kejadian yang berlaku sekitar jam 6 petang itu melibatkan lima daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Dungun dan Marang untuk tindakan susulan.

"Bagaimanapun, bantuan awal juga akan disalurkan oleh JKM mengikut keperluan mangsa," katanya kepada UPDI hari ini.

Dalam pada itu, katanya, beliau telah meminta semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Penyelaras DUN terlibat supaya memulakan kerja-kerja membaiki kediaman yang terjejas secepat mungkin. 

"Saya difahamkan kerja-kerja membaik pulih kediaman yang rosak telah dimulakan sejak pagi tadi dan pihak JKM juga akan menyalurkan bantuan awal mengikut keperluan mangsa," katanya. 

Dalam perkembangan sama, Hanafiah berkata, setakat ini anggaran keseluruhan kerugian melibatkan kawasan yang dilanda bencana itu masih dalam siasatan dan dijangka akan diketahui pada Khamis. 

Terdahulu, hujan lebat serta angin kencang yang melanda kira-kira setengah jam pada petang Selasa menyebabkan hampir 500 buah kediaman di lima buah daerah di Terengganu terjejas. 

Ia termasuk 81 buah kediaman di Perumahan Padang Setengge di Kuala Berang dalam daerah Hulu Terengganu membabitkan seramai 268 mangsa. 

Selain itu, terdapat juga kediaman terjejas melibatkan daerah Dungun, Kuala Nerus dan Marang serta beberapa kawasan lain di Kuala Terengganu.