• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

RM100 Juta Nilai Kerosakan Akibat Banjir Di Hulu Terengganu

KUALA TERENGGANU, 22 Mac- Dianggarkan kira-kira RM100 juta nilai kerosakan infrastruktur membabitkan jalan raya dan jambatan akibat banjir di Hulu Terengganu baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Dr Mamad Puteh berkata, jumlah berkenaan turut termasuk nilai kerosakan akibat kegelinciran tanah di kawasan Sungai Terengganu berhampiran Stesen Janakuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud.

“Untuk infra sahaja, di Hulu Terengganu ini lebih daripada RM100 juta kerugian kita.

“Kawasan TNB sahaja, kita dimaklumkan baru-baru ini semasa kita buat lawatan ke sana, daripada pintu pagar tu lebih kurang RM60 juta dah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Sesi Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Keempat Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.

Mengulas lanjut katanya,  kerajaan negeri masih menunggu laporan nilai kerosakan serta kerugian harta benda penduduk dan harta awam susulan kejadian banjir buruk yang melanda Terengganu.