• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

RM1.08 Juta Bantu Nelayan Tingkat Pendapatan

SETIU, 9 Mei - Untuk tahun 2023, Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM1.08 juta khusus untuk program bantuan langsung bagi sektor perikanan daripada RM4.7 juta bajet kerajaan negeri kepada sektor ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr. Azman Ibrahim berkata, dalam tempoh lima tahun, ia merupakan bajet terbesar kerajaan negeri kepada Jabatan Perikanan Malaysia (Perikanan), hampir tiga kali ganda berbanding dana persekutuan iaitu sebanyak RM1.3 juta.

Jelasnya dari jumlah itu, sebanyak RM300,000 diagihkan sebagai bantuan peralatan kepada 468 nelayan pantai, RM80,000 untuk perolehan bantuan peralatan nelayan darat (dan RM700,000 untuk bantuan input akuakultur negeri Terengganu.

"Setiu menjadi lokasi pertama sebelum kita menjelajah seluruh negeri untuk program sama. 

"Merangkumi bajet pembangunan dan program, ini titik mula dan akan menyusul program labuh unjam dan tukun dengan beberapa pengkalan nelayan dalam negeri menjadi tuan rumah, kita akan turun ke laut sebagaimana tahun-tahun sudah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan kepada Nelayan Pantai, Nelayan Darat dan Pengusaha Akuakultur di Pejabat Perikanan Setiu, semalam.

Hadir sama, Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir dan Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Setiu, Ahmad Rizal Mamat.

Dr. Azman menambah, daripada jumlah tersebut, seramai 56 nelayan pantai, 15 nelayan darat dan 24 pengusaha akuakultur di Setiu menjadi penerima pertama dana berkenaan.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Jabi itu turut berpesan kepada para nelayan untuk sentiasa menjaga kesihatan dan keselamatan diri.

"Berdepan fenomena tidak dijangka khususnya cuaca panas terik dan El-Nino yang sedang melanda, kita nasihatkan nelayan kita mengambil langkah berhati-hati, minum air secukupnya dan jaga kesihatan untuk mengelakkan kita terlibat sindrom strok haba.

"Dalam masa kita mencari rezeki, kerajaan negeri bantu dengan peralatan dan sebagainya, kita harap nelayan kita dapat turun ke laut dengan lancar dan selamat. Kita sama-sama bekerja untuk memperkayakan sumber makanan daripada sektor perikanan," katanya.

 


Tag: