• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

RM1.7 Juta Untuk Mangsa Banjir Terengganu - Idris Ahmad

KEMAMAN, 7 Mac - Sebanyak RM1.7 juta diperuntukkan bagi membantu mangsa banjir Terengganu yang disalurkan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui pelbagai agensi di bawahnya.

Menterinya, Senator Datuk Idris Ahmad berkata, lebih 7,000 isi rumah yang terjejas banjir baru-baru ini bakal menerima pelbagai bentuk bantuan termasuk wang tunai dan barangan keperluan harian.

“Ini merupakan sedikit sumbangan yang kami boleh berikan untuk meringankan beban mangsa banjir khususnya di Terengganu.

“Daripada peruntukan RM1.7 juta itu, kita akan salurkan kepada agensi-agensi terlibat di negeri ini seperti Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

“Kemudian agensi-agensi ini akan agihkan kepada mangsa banjir di seluruh negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Tabung Musaadah Banjir Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), di Kampung Seberang Tayor Hulu, di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, Idris turut menyampaikan bantuan wang tunai sebanyak RM300 dan barangan keperluan harian kepada 200 mangsa banjir di sekitar Kemaman.