• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

RM2 Juta Diperuntukkan Bina Masjid Baharu

KUALA TERENGGANU, 26 Januari - Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk pembinaan Masjid Felda Belara baharu, kata Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Jelasnya, kerajaan bersetuju menyalurkan dana berkenaan bagi menampung pertambahan jumlah jemaah di kawasan tersebut.

"Saya menyampaikan hasrat ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas ahli kariah bertemu dengan saya sebelum ini bagi mengemukakan permohonan untuk membina masjid baharu, Alhamdulillah beliau memberikan reaksi yang amat positif.

"Jadi sukacita saya umumkan bahawa kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk pembinaan masjid baharu," katanya di Kampung Felda Belara, Kuala Nerus, baru-baru ini.

Khairuddin berkata, usaha segera dilakukan oleh pihaknya selepas menerima permohonan berkenaan memandangkan masjid yang sedia ada hanya mampu menampung seramai 500 jemaah saja.

"Saya mencuba sedaya-upaya untuk membantu bagi merealisasikan hasrat rakyat di kampung ini apatah lagi masjid adalah simbol kekuatan syiar Islam," tambahnya.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana merealisasikan hasrat penduduk kampung berkenaan.

"Rata-rata penduduk kampung ini turut bersyukur di atas keprihatinan kerajaan atas permintaan tersebut," katanya lagi.