• 19 Mei 2024 | 11 Zulkaedah 1445

RM200 Juta Untuk Dalamkan Muara Sungai Dungun

                                 
           
Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh turun padang bagi meninjau masalah muara sungai Dungun cetek yang sudah sekian lama membelenggu nelayan di daerah itu.

Beliau kemudiannya diberi taklimat oleh Pegawai Daerah Dungun, Ibrahim Mohamad berhubung isu itu.

Ibrahim berkata, peruntukan sebanyak RM 200 juta diperlukan untuk mengatasi masalah tersebut dan permohonan peruntukan sudah dibuat kepada Kerajaan Persekutuan.



"Kita memerlukan sebanyak RM200 juta untuk mengatasi masalah ini dan memang nelayan sudah lama mengeluh. Keadaan muara sungai cetek juga menjadi penyebab kepada kes bot karam dan membawa kepada kematian serta kejadian tidak diingini.

"Jabatan Pengairan dan saliran (JPS) sudah mohon peruntukan sebanyak RM200 juta dan kita akan membuat semakan semula dengan Kerajaan Persekutuan supaya peruntukan itu boleh dipercepatkan," katanya.

Tambahnya, nelayan di sekitar Kuala Dungun  berdepan masalah utama untuk keluar mencari rezeki apabila hanya boleh keluar masuk ke muara sungai apabila air pasang sahaja.

Katanya lagi, permasalahan mendapan menyebabkan nelayan sukar untuk keluar masuk dan masalah tersebut sudah berlarutan sejak sekian lama selain turut membahayakan nyawa nelayan yang terpaksa menggunakan bot kecil meredah ombak dan arus yang deras untuk masuk ke muka kuala berikutan bot besar mereka tidak dapat masuk ke muara tersebut.

Malah, terdapat kes kematian pada tahun lalu, apabila empat orang nelayan mati lemas setelah bot kecil yang dinaiki mereka untuk pergi persisir pantai dipukul ombak besar di Pantai Kuala Dungun selepas bot besar mereka naiki sebelum itu terperangkap akibat muara sungai yang cetek.






Dr Mamad diberi penerangan berkenaan masalah muara oleh pegawai JPS

" Langkah sementara yang dilakukan ialah dengan mengorek dan menyedut pasir bagi mendalamkan muara sungai.

"Bagaimanapun, langkah ini tidak sesuai untuk jangka panjang dan kita harapkan permohonan peruntukan dilukuskan dengan lebih cepat supapa tindakan lebih drastik dapat dilaksanakan," katanya.





Tag: