• 24 Okt 2021 | 17 Rabiul Awal 1443

RM200 Ribu Peruntukan Segera Baik Pulih Bekalan Elektrik Pulau Kapas

MARANG, 1 September - Kerajaan negeri melalui Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) memperuntukkan RM200,000 pada kadar segera untuk memperbaiki set generator di Pulau Kapas bagi mengelakkan kejadian bekalan terputus berulang.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh berkata, pelaksanaan proses tersebut akan memakan masa sekitar tiga ke empat minggu.

Dr. Mamad (kanan) memberikan penjelasan kepada media di samping Ariffin.

"Untuk pengetahuan semua, kita menggunakan sistem solar hibrid iaitu gabungan solar, bateri dan generator yang membekalkan 350 kilowatt tenaga elektrik di bawah jagaan PMINT.

"Namun, sistem yang beroperasi sejak 2007 itu mengalami kerosakan pada 2014 menyebabkan kita terpaksa menggunakan generator yang asalnya hanya sebagai sokongan kepada sistem solar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan di Stesen Solar Hibrid Pulau Kapas, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Ariffin Deraman, Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim dan Pegawai Daerah, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.

Dr. Mamad dan Ariffin melihat keadaan satu-satunya set generator yang masih berfungsi.

Dr. Mamad turut menjelaskan, pertambahan mendadak pengunjung ke pusat peranginan berkenaan selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menyebabkan set generator sedia tidak dapat membekalkan elektrik secukupnya ke seluruh pulau.

"Lebih merumitkan, dua dari tiga set generator telah rosak berikutan operasi berterusan.

"Kini, satu set generator hanya mampu membekalkan maksimum 50 kilowatt sahaja pada satu-satu masa, jika berlebihan akan mengakibatkan bekalan putus," katanya.

Tambahnya, bagi pelan jangka panjang Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) telah bersetuju memperuntukkan RM4.9 juta untuk menggantikan dan membaik pulih sistem solar serta menggantikan set generator yang memakan masa enam bulan hingga setahun untuk diselesaikan.

Dalam pada itu, Pengurus Bahagian Penyenggaraan Harta PMINT, Mohd Zaidi Abdul Rahman yang turut hadir memaklumkan, peruntukan tersebut termasuk menaik taraf sistem berkenaan yang meningkatkan penyaluran bekalan tenaga elektrik kepada 200 kilowatt berbanding kemudahan sedia ada yang membekalkan 100 kilowatt pada satu-satu masa.

Dr. Mamad bersama Ariffn dan wakil PMINT meilhat panel solar di Stesen Solar Hibrid Pulau Kapas.

 


Tag: