• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

RM27,200 Disalur Kepada Pengayuh Beca, Pengusaha Bot Penambang

KUALA TERENGGANU, 23 Februari - Kerajaan Terengganu hari ini menyalurkan bantuan sebanyak RM27,200 kepada 50 pengayuh beca dan 18 pengusaha bot penambang di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, pihaknya bertanggungjawab memberi bantuan itu agar golongan berkenaan mampu meneruskan hidup seperti biasa meskipun situasi terkini COVID-19 memberi tekanan kepada mereka.

"Kesemua mereka menerima sumbangan sebanyak RM400. Kita harap bantuan ini sedikit sebanyak mengurangkan beban yang ditanggung mereka selepas sektor pelancongan terjejas teruk.

"Ini adalah kesinambungan daripada program semalam iaitu bantuan untuk pemandu teksi dan pemandu pelancongan sebanyak RM300 seorang.

"Saya turut menyaran kepada mereka supaya berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat agar nasib mereka terbela sebaiknya," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (Berkat) PKP 2.0 (Sektor Pelancongan) di Jeti Bot Penambang, Pasar Payang, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berbeza, Ariffin memaklumkan, Terengganu menjadi antara destinasi utama pilihan pelancong domestik sepanjang tahun lalu.

Katanya, data kadar purata penginapan di Malaysia yang dikeluarkan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) setakat November lalu mendapati Terengganu melonjak ke tangga ke empat berbanding tangga ke-11 bagi tempoh sama pada 2019.

"Menerusi data terbaharu ini, Terengganu berjaya mengatasi negeri-negeri lain, termasuk Perak, Sarawak, Johor dan Kuala Lumpur yang dahulunya popular sebagai destinasi pelancongan.

"Apa yang membanggakan Terengganu pernah berada di tangga kedua keseluruhan pada bulan Julai dan September pada tahun lalu," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan sedang mengadakan kerjasama dengan pemilik Restoran Amber Chinese Muslim,  Haji Ismail Nuh @ Cui Wei untuk membuka  restoran berkonsepkan hidangan Cina Muslim di Bazar Warisan.

“Pembukaan restoran dijangka pada Mac ini, bermungkinan akan ditangguh atas pelbagai sebab termasuk Perintah Kawalan Pergerakan

“Bagaimanapun kerja-kerja pengubahsuaian bangunan kepada konsep yang diinginkan sedang giat dijalankan. Saya percaya dengan pembukaan restoran itu nanti, jumlah kedatangan pelancongan ke Terengganu semakin bertambah," katanya.


Tag: