• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

RM277 Ribu Suntikan Untuk MBD Marang Bergerak Aktif

A.Latiff Awang menyerahan replika check kepada Amirullah Othman.

Kerajaan negeri memperuntukkan RM277,000 kepada Majlis Belia Daerah (MBD) Marang untuk diagihkan RM5,000 kepada setiap persatuan belia cawangan yang aktif.

Pengerusi Jawatankuasa pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A.Latiff Awang berkata, kerajaan negeri menerusi MBD sudah mengadakan perbincangan supaya peruntukan itu dapat memberi pulangan dalam melahirkan belia yang cemerlang dan aktif menerusi pelaksanaan pelbagai program yang bermanfaat.

“Saya sarankan agar persatuan belia aktif dalam membuat program, bukan sahaja aktif dalam bidang sukan dengan bermain bola, futsal, boling. Malah, untuk turut aktif dalam bidang kemasyarakatan, sosial, pendidikan dan sebagainya.

“Selain itu, mana-mana cawangan yang tidak aktif perlulah mencontohi cawangan yang aktif seperti cawangan Bukit Payung, Wakaf Tapai dan lain-lain. Ini kerana, cawangan yang aktif ditunjangi pengerusi dan jawatankuasa yang komited memainkan peranan dan tanggungjawab dalam menaikkan persatuan belia cawangan mereka," katanya di Majlis Jamuan Hari Raya dan Penyerahan Bantuan Pentadbiran Persatuan Belia Parlimen Marang 2017 di kediaman beliau, di Binjai Rendah, baru-baru ini.


Turut hadir, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Marang, Wan Norhayati Wan Ibrahim dan Timbalan Presiden Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia, Amirullah Othman.

A. Latiff turut berharap agar mana-mana pengerusi belia cawangan perlu memainkan peranan mereka dengan sebaik mungkin dan melatih pelapis untuk menguruskan persatuan supaya terus berkesinambungan.

“Hanya 56 cawangan sahaja yang aktif setakat ini. Jadi saya berharap agar lebih banyak lagi program dapat dijalankan oleh persatuan belia kerana kerajaan negeri amat komited dengan persatuan belia pada hari ini.

"Sebagaimana umum mengetahui, belia banyak membantu dalam memakmurkan dan sentiasa menyokong dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional,"katanya.

Tag: