• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

RM30.5 Juta Demi Pemuliharaan Muara Sungai Merchang

MARANG, 3 Julai – Projek Pemuliharaan Muara Sungai Merchang sedang dilaksanakan bermula 15 Disember tahun lalu dengan kos projek bernilai RM30.5 juta.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bagi menangani masalah mendapan muara sungai dan hakisan pantai, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melaksanakan dua (2) projek pembangunan di Daerah Marang.

“Kerja-kerja pembinaan ini dijangka siap dalam tempoh dua (2) tahun iaitu pada 14 Disember 2023 dan melibatkan pengorekan alur navigasi bermula muara Sungai Merchang sehingga Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM),” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Projek Pemuliharaan Muara Sungai Merchang dan Projek Pengawalan Hakisan Pantai Marang bertempat di Dewan Sivil Merchang, Marang di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman

Tambah Tuan Ibrahim, situasi semasa mendapan di muara Sungai Merchang serta hakisan di Pantai Marang menimbulkan masalah terhadap navigasi bot nelayan dan pelancong, banjir pantai, kerugian harta benda dan sebagainya.

“Mendapan muara sungai juga turut memberi kesan negatif kepada kualiti air, menjejaskan hidupan akuatik dan aktiviti akuakultur.

“Setelah projek ini siap sepenuhnya, ia akan memberi limpahan manfaat kepada para nelayan dan usahawan bot pelancong untuk keluar masuk ke laut dengan selamat serta dapat melindungi lebih 100 buah bot berdaftar daripada rosak akibat kecetekan muara dan pukulan ombak,” ujarnya.

Sementara itu kerajaan Persekutuan juga meluluskan pelaksanaan Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Pantai Marang dengan kos sebanyak RM15.6 juta yang telah bermula pada 4 Januari 2022 dan dijangka siap dalam tempoh dua (2) tahun iaitu pada 1 Januari 2024. 

 

 


Tag: