• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

RM313 Ribu Tajaan Indahkan Premis Perniagaan Di Sekitar Bandar Raya


Mohd Jidin bersama Mohd Zulkifli  meninjau lukisan mural di Jalan Banggol, Kuala Terengganu. Foto Zulkifli C W Putra

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) memperoleh tajaan RM313,000 dari pelbagai pihak swasta bagi memperindahkan beberapa premis perniagaan usang di sekitar Bandar Raya Kuala Terengganu.

Terbaru, bagi mengecat dan menghias bangunan di Jalan Banggol, Kuala Terengganu sebanyak RM77,000 diperuntukkan menerusi Program Seni Hias Bandar.


Projek hasil sentuhan kreatif empat pelukis tempatan yang dikenali dengan gelaran Wan Coreng Moreng, Joe Janggut, Famy Moc dan Ku Bad itu mengambil masa kira-kira sebulan dan siap sepenuhnya akhir Ramadan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan Negeri Dan Kesejahteraan Bandar Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee berkata, lukisan itu dimulakan di Kampung Cina dan mendapat tarikan pelancong untuk bergambar sekali gus dijadikan kenangan ketika berada di negeri ini.

Katanya, kemudiannya di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang bertemakan karikatur pemain-pemain bola sepak lagenda Terengganu membabitkan kos RM12,000.

 “Fasa seterusnya melibatkan lukisan bermotifkan batik dan songket pada dinding Pasar Payang (RM200,000).

“Kerajaan negeri akan memperbanyakkan lagi lukisan seumpama itu pada bangunan lama dan lorong berjalan kaki di negeri ini sebagai tarikan baharu kepada industri pelancongan,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat  tinjauan lukisan mural sempena program Seni Hias Bandar, di Jalan Bandar, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar MBKT, Mohd Zulkifli Abu Bakar.

Mohd Jidin turut memberitahu,  lukisan seumpama itu akan diperluaskan pada dinding Hentian Bas MBKT dan pelbagai lokasi bersesuaian dengan memaparkan wajah dan kehidupan masyarakat Terengganu selain bertemakan Visit Beautiful Terengganu.


“Usaha ini dianggap penting kerana mampu menarik minat pelancong untuk bergambar dan menviralkan kenangan di lokasi terbabit kepada umum melalui pelbagai saluran media sosial yang ada,”katanya.                        

Tag: