• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

RM411 Ribu Bantu Penanam Kenaf Setiu



Kerajaan melalui Lembaga Kenaf Dan Tembakau Negara (LKTN) membelanjakan sebanyak RM411,255 sebagai insentif kepada 109 peserta tanamam kenaf di Setiu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Negeri, Dato' Mohamad Pehimi Yusof berkata, peruntukan itu akan dibelanjakan bagi menyediakan input tanaman kenaf melibatkan penyediaan kawasan tanaman itu.


"Secara keseluruhannya seluas 185 hektar tanah akan diusahakan dengan tanaman kenaf di Daerah Setiu.
"Bagi memudahkan pengangkutan pada tahun ini Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara menaik taraf jalan ladang di kawasan tanah kelompok Kampung Bahagia sejauh 3.7 kilometer (km) dan Kampung Guntung sejauh 2.3 km," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Bicara Kenaf di Kampung Guntung, Setiu, kelmarin.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah LKTN, Idris Mohd Salleh, Pengurus Wilayah Timur LKTN, Mohd Norsyam Yahya dan Pegawai Daerah Setiu, Rosdi Awang.
Pehimi berkata, beliau mahu pihak terlibat membantu LKTN untuk mengenal pasti lokasi tanah di Terengganu yang boleh diusahakan dengan tanaman kenaf.
Beliau juga berharap lebih ramai penduduk di seluruh Terengganu khususnya di kawasan yang sesuai dengan tanaman itu supaya menanam kenaf kerana mampu menghasilkan pendapatan baik kepada pengusahanya.


Kenaf adalah sejenis tanaman yang digunakan untuk membuat beberapa produk antaranya ialah papan gentian dan barangan kraftangan.


Tag: