• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

RM5 Juta Setahun Tambah Baik Program Subsidi Tepung Gandum

HULU TERENGGANU, 17 Julai - Kerajaan pusat memperuntukan RM5 juta setahun bagi melaksanakan penambahbaikan program subsidi tepung gandum kegunaan am bermula Julai tahun ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato' Rosol Wahid berkata tepung gandum itu akan difortifikasi dengan Zat Besi dan Asid Folik sebagai salah satu intervensi kesihatan awam bagi menangani masalah kekurangan asid folik dan zat besi di kalangan rakyat Malaysia.

"Penambahbaikan mutu tepung ini baik untuk kesihatan jadi atas kesedaran tersebut dan atas persetujuan Perdana Menteri yang prihatin dengan dana MOF, kita akan beri produk yang sama bagi semua golongan.

"Harga tak berubah walaupun telah difortifikasikan iaitu  tambahan zat besi dan asid folik iaitu RM1.35 sen sekilogram. Kalau ada yang naikkan harga, boleh lapor kepada pihak kami,"ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program lawatan Outreach PPV Masjid Peradong, Manir, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Dato' Harun.

Dalam program terbabit, Rosol turut menyerahkan lima unit kerusi roda dan dua unit router wifi kepada PPV Masjid Peradong untuk kegunaan ramai.

Tambah beliau lagi, pelaksanaan penambahbaikan itu membabitkan kos tambahan ditanggung kerajaan sebanyak 5 sen bagi setiap kilogram tepung gandum atau kira-kira RM5 juta setahun di bawah Program Subsidi Tepung Gandum Kegunaan Am (PSTG).