• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Kerajaan Salur RM65.6 Juta Kepada Iman, Bilal, Guru Takmir Dan KAFA

KUALA NERUS, 10 Februari- Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan kewangan sebanyak RM65,580,285.60 kepada iman, bilal, guru takmir dan guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) Terengganu, tahun ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato' Idris Ahmad berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM18,865,180.80 disalurkan kepada imam, bilal dan guru takmir yang melibatkan seramai 5,817 orang penerima.

“Selain itu, bagi menghargai sumbangan guru KAFA di negeri ini yang telah mencurah bakti mendidik anak bangsa, sebanyak RM1,638,000 disalurkan kepada 3,276 orang penerima sebagai bayaran bantuan khas tahun 2022.

“Manakala jumlah peruntukan elaun guru KAFA pula adalah sebanyak RM45,077,104.80 yang melibatkan seramai 3,276 orang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Terengganu di Masjid Kampung Seberang Takir, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu, Mohd Nor Hamzah.

Sementara itu katanya, bermula Januari lalu guru KAFA wanita yang bersalin layak diberikan cuti bersalin sebanyak 60 hari dengan dibayar elaun berbanding dengan sebelum ini guru KAFA wanita layak cuti bersalin tetapi tidak layak dibayar elaun.

“Ini adalah usaha kerajaan dalam menjaga kebajikan guru-guru KAFA sepanjang kontrak mereka berkuatkuasa dengan Agensi Pelaksana KAFA Negeri.

“Diharapkan agar semua guru KAFA berperanan membawa imej murabbi ummah memacu perkembangan modal insan dalam mendepani cabaran masa kini,” ujarnya.