DUNGUN, 15 Disember – Kerajaan Negeri Terengganu terus memperkukuh komitmen terhadap pembangunan pendidikan apabila peruntukan biasiswa negeri meningkat daripada RM5 juta kepada RM6 juta tahun ini, dengan sasaran untuk dinaikkan kepada RM7 juta setahun bermula tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Modal Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, peningkatan tersebut mencerminkan keutamaan kerajaan negeri dalam memastikan akses pendidikan yang berterusan dan inklusif untuk anak-anak Terengganu, meskipun berdepan kekangan kewangan.
Menurut beliau, pada masa sama kerajaan negeri turut mengekalkan peruntukan pinjaman pendidikan sebanyak RM10 juta setahun bagi memastikan lebih ramai pelajar berpeluang menyambung pengajian mengikut minat dan laluan kerjaya masing-masing.
“Kerajaan negeri sentiasa melihat pendidikan sebagai satu pelaburan jangka panjang.
"Walaupun kos pengajian, khususnya ke luar negara, semakin meningkat, kita mengambil pendekatan yang lebih strategik dengan mempelbagaikan destinasi dan laluan pengajian supaya manfaatnya dapat dirasai oleh lebih ramai pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah PASTI At-Tajdid, Kuala Paka yang berlangsung di PASTI At-Tajdid, semalam.

“Dalam masa yang sama, kita mengisi lompang-lompang pengajian ke luar negara, termasuk menghantar 20 pelajar setahun ke Algeria secara percuma yang telah berjalan selama tiga tahun berturut-turut.
"Selain tawaran 20 kerusi setiap tahun oleh kerajaan Tunisia khusus untuk anak-anak Terengganu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pelajar cemerlang dari Terengganu masih mempunyai laluan untuk menyambung pengajian ke Eropah melalui tajaan agensi Persekutuan seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
“Alhamdulillah, Terengganu terus mencatat prestasi yang membanggakan dalam peperiksaan SPM dan STPM, dan pencapaian ini membuktikan pelajar kita mampu bersaing di peringkat antarabangsa dengan sokongan yang sewajarnya,” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri juga giat memperkenalkan program baharu melibatkan persijilan profesional termasuk ACCA, bidang marin, kejuruteraan penerbangan serta latihan juruterbang melalui kerjasama strategik dengan syarikat penerbangan seperti Batik Air, Malaysia Airlines (MAS) dan Singapore Airlines (SIA).
“Semua usaha ini bertujuan memastikan anak-anak Terengganu lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan serta mampu bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa mengikut pilihan pendidikan dan kehendak kerjaya masing-masing,” katanya.