• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

RM9 Juta Diperuntuk Bagi Program Pembangunan Desa Di Wilayah Ketengah

HULU TERENGGANU, 23 Januari - Sebanyak RM9 juta diperuntukan oleh Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bagi memperkasakan Program Pembangunan Keusahawan Desa di wilayah tersebut.

Pengurus Besarnya, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa berkata pelaksanaan dibawah Rancangan Malaysia Ke 12 (RMK 12) itu bagi meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar dan melahirkan lebih ramai usahawan dikalangan mereka.

"Melalui program itu, Ketengah akan melaksanakan kursus dan latihan, bantuan input peralatan, pembungkusan termasuk pelabelan dan menaik taraf premis bagi tujuan pensijilan.

"Di wilayah Ketengah, kita ada 1,500 usahawan dan akan dibantu dengan mengatur pasaran untuk mereka," ujarnya di Majlis Pelancaran Produk Usahawan di Petron Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, hari ini.

Dalam program tersebut, sebanyak 35 produk dari 10 usahawan diletakkan di ruang Kedai Mart di stesen tersebut.

Tengku Ahmad Nadzri berkata kerjasama dengan Ketengah Properties dilihat mampu membantu usahawan luar bandar memasarkan produk melalui platform yang disediakan 

Katanya, peluang tersebut bukan sahaja mampu meningkatkan jualan mereka malah secara tidak langsung dapat meluaskan rangkaian perniagaan mereka.

Menurut beliau lagi, sehingga kini 30 usahawan dengan lebih 50 produk makanan dan minuman telah berjaya memasarkan produk mereka di tiga stesen minyak di kawasan Ketengah iaitu di Bandar AlMuktafi Billah Shah, Bandar Bukit Besi di Daerah Dungun serta Bandar Cheneh Baru di Kemaman.