• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

RMM Dendong : Langkah Segera Diambil Elak Projek Tergendala

KUALA TERENGGANU, 6 Februari - Kerajaan negeri sudah mengambil langkah segera bagi memastikan pembinaan Perumahan Mampu Milik (RMM) di Dendong, Besut diteruskan seperti biasa dan tidak tergendala.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Dr Alias Razak berkata, projek itu mengalami sedikit kelewatan berbanding jadual asal kerana kontraktor utama, Wanland Sdn Bhd mengalami masalah kewangan kerana akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, susulan itu pihaknya sudah mengenalpasti beberapa jalan penyelesaian untuk dilaksanakan bagi memastikan RMM itu berjalan seperti biasa.

“RMM Dendong tergendala daripada jadual asal kerana syarikat terbabit mengalami masalah kewangan ketika PKP. Semua faham bahawa hampir seluruh pemain industri pembinaan di negara terkesan akibat wabak.

“Projek ini tetap akan diteruskan dalam masa terdekat dan telah mendapat kelulusan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada bulan lepas dengan beberapa pindaan yang dicadangkan,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman. 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal turut berkata cadangan pindaan pelan projek itu sudah diluluskan bagi memudahkan penyerahan projek itu kelak. 

“Pindaan atas permohonan Pejabat Daerah dan Tanah Besut adalah berkaitan kaedah pelupusan tanah bagi kemudahan dan utiliti tapak projek tersebut, ia sudah diluluskan,” tambahnya. 

Mengulas lanjut mengenai video di media sosial bertajuk ‘Perumahan Alam Sebalik Mata’, Dr Alias menyifatkan ia sebagai bahan politik pihak lawan bahkan kerajaan sentiasa berusaha menyiapkan semua projek perumahan termasuklah projek terbengkalai ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN). 

Kerajaan negeri menyatakan komitmen bagi menyediakan 20,000 unit rumah buat rakyat berdasarkan manifesto yang dibawa PAS Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.


Tag: