• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

RMM Tajin Dijangka Siap Pertengahan Tahun Ini

HULU TERENGGANU, 24 Februari - Proses pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) Kampung Tajin dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata pembinaan RMM Tajin di atas tanah seluas 10 hektar sedang giat dijalankan sejak dirasmikan pada Julai 2019.

"Sebanyak 250 buah unit RMM sedang dibina dan proses pembinaan berjalan dengan lancar setakat ini.

"Pada bulan enam atau bulan tujuh tahun ini, projek ini akan siap dan kita akan agihkan kepada penduduk di Hulu Terengganu ini, " jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak RMM di hadapan Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu (SAHUT), Kampung Tajin, baru-baru ini.

Menurut beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri berkata, pembinaan RMM Tajin sedang melalui kerja-kerja terakhir.

"Kerja-kerja akhir seperti pemasangan longkang, pendawaian elektrik, pagar dan kerja-kerja berkaitan dengan jalanraya berjalan dengan baik," katanya.