• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Road To Maha Peringkat Terengganu Raih Jualan RM725,000

Dr Azman menyampaikan sijil penghargaan kepada petugas Road To Maha Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU, 5 November - Kejayaan membanggakan program Road To Maha Peringkat Negeri Terengganu pada 25 hingga 27 Oktober lalu, yang meraih nilai jualan hampir RM725,000 memberi petunjuk baik sektor pertanian negeri boleh dimajukan ke tahap lebih komersial dan dinamik.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, program tahunan yang menarik lebih 50,000 pengunjung sepanjang tiga hari itu menjadi sebutan ramai kerana menyediakan pelbagai tarikan dan manfaat kepada rakyat negeri ini.

"Tanggungjawab memastikan sektor pertanian negeri akan terus diperkasakan memerlukan kerjasama dan komitmen semua agensi dan jabatan berkaitan.

"Bukan hanya untuk menjayakan program (Road To Maha) seperti ini, tapi untuk bersama-sama berganding bahu bekerja bagi meletakkan sektor pertanian Terengganu di tempat yang disegani dan dibanggakan,"katanya.



Beliau berkata demikian ketika meraikan semua Jawatankuasa Panitia Induk dan petugas program Road To Maha 2018 Peringkat Terengganu di Hotel Grand Continental, di sini, semalam.

Majlis itu turut dihadiri semua wakil-wakil jabatan dan agensi di bawah Portfolio Pertanian dan Industri Asas Tani negeri.

Dr Azman turut mengucapkan terima kasih dengan komitmen dan kerja keras serta semangat  kekeluargaan yang utuh sehingga Road To Maha mengukir sejarah tersendiri dalam penganjuran program terbesar pertanian di negeri ini.


Road To Maha Peringkat Negeri Terengganu berlangsung tiga hari bermula 25 Oktober lalu di pekarangan Pejabat Mardi, Manir, di sini dirasmikan Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Program itu bertujuan mempromosikan Ekspo Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia 2018 (Maha 2018) yang bakal diadakan pada 22 November hingga 2 Disember 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.



Tag: