• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Road To Maha Raih Jualan RM725,000

Dr Samsuri dan isteri mengadakan lawatan ketika merasmikan Program Road To Maha 2018.
KUALA TERENGGANU, 29 Oktober - Lebih 50,000 pengunjung hadir sepanjang program Road To Maha Peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung selama tiga hari bermula 25 hingga 27 Oktober lalu di perkarangan Pejabat Mardi, Manir di sini.

Program yang bertujuan untuk mempromosikan Ekspo Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia 2018 (Maha 2018) yang bakal diadakan pada 22 November hingga 2 Disember 2018 di MAEPS, Serdang itu dirasmikan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Khamis (25 Oktober) lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, berdasarkan kehadiran luar jangkaan itu, Road To Maha mampu meraih jualan mencecah kira-kira RM725,000 sepanjang tiga hari program berlangsung.

Katanya, kutipan jualan itu hasil daripada pelbagai program yang diusahakan penganjur dengan kerjasama perternak, usahawan dan pelbagai pihak yang terlibat.

“Antara yang menarik perhatian pengunjung adalah jualan Happy Hour yang berlangsung selama 10 minit dengan potongan sebanyak 10 peratus daripada harga asal.

"Setiap hari akan ada jualan Happy Hour membabitkan barangan seperti anak pokok durian musang king, keperluan harian seperti gandum, gula, ubi kentang dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 70 gerai pelbagai agensi dan jabatan berkaitan porfolio pembangunan asas tani dan desa mengambil bahagian sepanjang  program terbabit.

"Program julung kali diadakan itu akan dijadikan sebagai acara dwi tahunan sebelum berlangsungnya program peringkat Maha di peringkat pusat.

"Program  Ini mampu menjadi medan pertemuan kepada jabatan dan pengusaha yang terlibat di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk menjadikan ia penyumbang sektor pertanian ke arah satu posisi yang terhormat suatu masa nanti," katanya lagi.



Tag: