• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

‘Road Tour Al-Quran’ Selesai Jelajah Lapan Daerah

KUALA TERENGGANU, 5 April - Program Road Tour Al-Quran bersama Daie peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung mulai 19 Mac hingga 1 April 2021 berlangsung dengan jayanya melibatkan lapan buah daerah di negeri ini sekaligus menutup tirai kempen Bulan Penghayatan Ibadah Solat (BPIS).

Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Ramlan Mahmood berkata, meskipun BPIS telah melabuhkan tirainya, namun kempen dan kehangatan penghayatan ibadah solat tidak terhenti setakat itu.

“Saya yakin dan percaya segala program yang telah kita susun bersempena BPIS sepanjang bulan Mac yang lalu telah memberi impak yang cukup besar kepada golongan sasar kita termasuklah program Road Tour Al-Quran ini.

“Saya difahamkan Road Tour Al-Quran ini melibatkan semua daerah di negeri ini yang mengupas topik ilmu al-Quran yang mana dipecahkan kepada beberapa segmen utama.

“Selain ulum Quran, ijazah ayat al-Quran terpilih turut diperturunkan oleh penceramah-penceramah jemputan yang faqih dalam cabang ilmu yang berbeza-beza," kata ketika dihubungi pemberita, dekat sini baru-baru ini.

Jelas Ramlan, slot Road Tour Al-Quran bersama penceramah yang kian dikenali ramai atas keilmuannya dalam perubatan Islam, Ustaz Solihin Zamri telah mengijazahkan kepada orang ramai ayat sakinah iaitu ayat ketenangan ketika kesedihan menimpa.

"Ayat sakinah yang dimaksudkan ialah Surah Al-Fatihah, Surah Al-Baqarah ayat 248, Surah At-Taubah ayat 26, Surah At-Taubah ayat 40, Surah Al-Fath ayat 4, 18, 26 dan Surah 3 Qul (Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falaq, Surah An-Nas)," katanya.


Tag: