• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Rombakan Jakim : 'Masih Terlalu Awal' - Menteri

HULU TERENGGANU, 31 Disember - Kerajaan pusat belum memutuskan sebarang tindakan mengenai gesaan untuk merombak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) secara besar-besaran berikutan isu kartel daging yang berlaku baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamed Al-Bakri berkata, pihaknya perlu meneliti isu tersebut dengan lebih luas daripada pelbagai aspek.

“Pada pandangan kami, terlalu awal untuk membuat keputusan berkenaan gesaan rombakan Jakim, saya lebih suka menambah kualiti dan kebaikan jabatan ini.

“Membina sesuatu lagi susah dari membaikinya namun kadang-kadang ada juga membaiki lebih susah dari membina, tapi perkara sebegini yang dipegang.

“Saya sudah beberapa kali bertemu dengan pihak halal Jakim dan respons yang diberi cukup baik. Kita sarankan supaya isu amanah, integriti, kejujuran dan kerja secara berpasukan dengan penuh profesional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) semalam.

Tambah Dr Zulkifli, Jakim turut memberi jaminan untuk mengemaskini prosedur operasi standard (SOP) pengimportan daging sejuk beku.

“Jakim tetap akan laksanakan tugasan-tugasan membaiki garis panduan terutamanya dalam urusan pengimportan dan tindakan drastik akan diambil dengan kadar segera,” katanya lagi.