• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Rosol Turun Lapangan Tinjau Bekalan Keperluan Rakyat

HULU TERENGGANU, 26 September - Susulan isu bekalan dan harga beras yang menjadi keresahan dalam kalangan rakyat masa kini, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid turun ke lapangan bagi memantau sendiri masalah tersebut. 

Menurut Rosol, hasil tinjauan beliau mendapati kadar harga dan bekalan barang berada pada tahap yang tidak memuaskan dan kenaikan harga seperti yang diketahui umum. 

“Sebelum ini saya telah beberapa kali mendengar keluhan dan aduan daripada peniaga, pemilik pasaraya dan orang ramai mengenai isu bekalan dan harga beras ini.

“Hari ini saya turun ke lapangan bagi mendapatkan kepastian dan pengesahan hadapan mata sendiri, sebagai contoh harga beras jati lima kg yang dahulu di jual dengan harga RM16.20, tetapi sekarang di jual dengan harga RM20.50," ujar beliau yang juga mantan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata kepada pemberita. 

Tambah Rosol lagi, terdahulu dalam sidang parlimen, beliau telah membangkitkan isu bekalan beras tempatan, yang ada beras import dengan harga yang tinggi, akan tetapi telah disindir oleh pemimpin kerajaan.

Beliau berharap agar pihak kerajaan khususnya kementerian yang berkenaan segera bertindak bagi merawat keresahan dikalangan rakyat sekarang, sekali gus membuktikan keprihatinan, keikhlasan dan komitmen kerajaan membela nasib mereka.

Sementara itu, Pengurus Besar Xiri Group cawangan Kuala Berang, Teong Gaik Lan, berkata isu bekalan beras tempatan yang masih belum selesai sejak beberapa bulan yang lalu cukup meresahkan. 

“Bekalan beras tempatan tiada sejak bulan Jun yang lalu, harga beras kini naik sebanyak 20 peratus, Manakala bekalan gula juga tidak banyak kerana kenaikan harga," ujarnya.