Royalti : Terengganu Belum Terima Bayaran Penuh

SERDANG, 2 April - Kerajaan Terengganu mengesahkan pihaknya masih belum menerima bayaran penuh Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) yang juga dianggap wang royalti.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri berkata, setakat ini kerajaan negeri hanya menerima bayaran pendahuluan.

"Beberapa hari yang lepas kita ada menerima sedikit pendahuluan daripada peruntukan itu, bukan sepenuhnya.

"Bakinya saya percaya akan sampai dalam waktu terdekat ini, buat sementara ini kita hanya menerima sebahagian kecil dahulu," ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media ketika Majlis Berbuka Puasa Kepimpinan Kerajaan Negeri Bersama Anak Terengganu di Perantauan, di Dewan A MAEPS Serdang, hari ini.

Ujarnya lagi, proses perundingan antara pihaknya dengan Kementerian Kewangan akan sentiasa berjalan.

Untuk rekod, sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa DKKP akan dibayar seperti amalam sebelum ini iaitu pada bulan Mac dan September.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai dakwaan Anwar bahawa kerajaan Terengganu dan Kelantan diberi peruntukan yang lebih tinggi berbanding kerajaan Perikatan Nasional, katanya perkara tersebut kurang jelas.

"Sebenarnya saya kurang jelas tentang (dakwaan) itu, jadi (tunggu) sehingga saya (dapat) maklumat terperinci, (setakat ini) saya tak nak bagi komen lagi," ujarnya lagi.


Tag: