• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

RTB Pondok Pasir, Kijal - 104 Peserta Serah Dokumentasi

KEMAMAN, 12 Februari - Seramai 104 peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Pondok Pasir, Kijal menyerah Borang Jadual 1 untuk diproses oleh Pejabat Tanah Kemaman.

Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pondok Pasir, Yak Yah dan Bukit Takal, Suhaimi Salleh berkata semua yang tersenarai itu telah melalui proses temuduga.

Suhaimi Salleh.

Katanya, permohonan yang diterima terdiri daripada penduduk setempat dan dari kampung - kampung yang berhampiran dengan Pondok Pasir.

"RTB ini merupakan tanah kediaman fasa yang ketiga setelah fasa sebelum ini telah diluluskan dan akan diadakan majlis penyerahan geran dalam masa yang terdekat ini.

"Alhamdulillah, walaupun proses agihan ini memakan masa yang agak lama tapi dengan kecekapan yang ada pada kakitangan Pejabat Tanah ianya berjaya diselesaikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Jadual 1 RTB Pondok Pasir di Kompleks Paya Lasir, Bandar Baru Kijal, baru-baru ini.

Sesi temuduga.

Menurut Suhaimi, ini menunjukkan kesungguhan JPKK dan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal dalam menyahut seruan Kerajaan Negeri iaitu 'Satu Keluarga, Satu Kediaman'.

Turut hadir sebagai panel temuduga adalah Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh, Ketua Biro Tanah Kijal, Zabidin Awang dan Pengerusi JPKK Pondok Pasir, Zawawi Mohamed.


Tag: