• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Rugi Hampir RM50 Juta Kompleks MBKT Lambat Siap

KUALA TERENGGANU, 30 November – Kerajaan negeri terpaksa menanggung kos tambahan bagi pembinaan Bangunan Kompleks Pentadbiran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini yang lewat enam tahun untuk disiapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Dr Alias Razak berkata kerajaan terpaksa mengeluarkan peruntukan tambahan sebanyak RM49.6 juta akibat kelewatan menyiapkan projek itu.

Katanya, bangunan Menara MBKT yang bernilai RM141.49 juta mula dibina pada tahun 2013 dan sepatutnya siap pada tahun 2016.

“Kos asal projek itu adalah RM141.49 juta tetapi berlaku pertambahan peruntukan sebanyak RM49.6 juta menyebabkan peruntukan keseluruhan terpaksa dikeluarkan adalah sebanyak RM198.86 juta.

“Projek ini tertangguh lama atas beberapa faktor iaitu seperti perubahan reka bentuk, pelan susur atur dalaman serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Hilmi Harun (PAS-Manir) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Kata Dr Alias, tarikh siap projek adalah pada 4 Julai lalu dan pihak MBKT akan dapat menduduki bangunan tersebut sejurus selepas mendapat Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) yang dikeluarkan oleh Lembaga Arkitek Malaysia.

Beliau berkata, perpindahan secara berperingkat mengikut jabatan sedang dilaksanakan.

“Kita jangka MBKT dapat beroperasi sepenuhnya di menara baharu pada awal tahun hadapan,” katanya.

 


Tag: