PPS Kebor Besar Sediakan Pelbagai Aktiviti Untuk Mangsa Banjir
DUNGUN, 20 Februari – Dua penternak lembu di Bandar Al Muktaffi Billah Shah di sini, mendakwa kerugian hampir RM30,000 selepas sekumpulan gajah liar memusnahkan tanaman rumput napier mereka, baru-baru ini.
Penternak, Abdul Wahab Mohd Amin, 60, berkata serangan gajah liar itu menambah kebimbangannya terhadap keselamatan lebih 200 lembu yang diternak mereka.
Katanya, selain merosakkan tanaman rumput yang diusahakan seluas 240 hektar itu, kumpulan gajah berkenaan turut memusnahkan pagar ladang.
“Apabila kawasan pagar sekeliling dirosakkan gajah, kami bimbang lembu ternakan di baham binatang liar lain seperti harimau kumbang.
"Sebelum ini, kumpulan gajah terbabit hanya melalui kawasan ini dan mungkin dalam hutan sudah tiada makanan, maka haiwan berkenaan menceroboh masuk ke ladang ini.
"Kesan serangan gajah itu menyebabkan penternak bimbang keselamatan 200 lembu ternakan mereka di sini,” katanya.
Beliau juga berkata, kejadian berlaku pada khamis lalu itu adalah yang pertama kali sejak empat tahun mereka mengusahakan ternakan lembu di situ.
Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, pihaknya sudah memaklumkan mengenai kejadian itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
"Jabatan Veterinar dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) juga akan dimaklumkan dan kami percaya pihak terbabit dapat membantu bagi meringankan beban kepada penternak yang terkesan," katanya.