• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Rugi RM50,000, Kedai Ditenggelami Air

HULU TERENGGANU, 20 Disember - Seorang peniaga kedai makan dan produk pertanian reda alami kerugian RM50,000 apabila perniagaan  yang diusahakan sejak 10 tahun lalu di Kampung Kepah di sini, ditenggelami banjir.

Mangsa, Wan Nora Wan Mustaffa, 42, berkata, dia tidak sempat menyelamatkan barangan di kedainya
selepas air naik mendadak akibat hujan lebat.

Berkongsi cerita, dia bersama suaminya Mohd Noor Abd Ghani, 63, tidak menyangka banjir kali ini lebih teruk dari 2014 dan dipenuhi lumpur.

"Pada hari Ahad, saat hujan lebat dan air sungai mula melimpah, saya dan ahli keluarga mengemas barang-barang di rumah ke tempat yang lebih tinggi.

"Pergerakan air sangat laju dan mula melimpah ke dalam kedai dan saya tidak sempat menyelamatkan barangan berat seperti peti sejuk dan
kelengkapan memasak yang lain yang ada di kedai hadapan rumah" katanya yang berpindah ke PPS bersama lima lagi anak-anaknya.

Menurutnya, walaupun biasa menghadapi banjir setiap tahun, namun dia tidak menyangka banjir kali ini besar hingga tidak sempat membuat persiapan rapi.

Wan Nora berkata, selain kedai makan, kediamannya yang terletak di belakang kedai turut ditenggelami banjir.

Tambahnya lagi,  banjir terbaharu itu adalah kali kedua berlaku yang mana kedainya sebelum ini juga ditenggelami hingga mengalami kerosakan dalam banjir besar melanda awal tahun lalu.