‘Rujuk Rakyat Apabila Laksana Projek’ - MB Terengganu

KUALA TERENGGANU, 9 Februari - Projek-projek yang ingin dijalankan di negeri ini mesti mengambil kira pandangan dan idea daripada penduduk setempat atau pengguna, ujar Menteri Besar Terengganu.

Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, golongan terbabit adalah pakar kerana mereka mempunyai pengetahuan berkualiti dan pengalaman tertentu yang berbeza dengan pihak atasan.

“Misalnya, kita nak buat penyelenggaraan Jeti Merang, kita ada standard dan rujukan pada manual, dalam masa yang sama dapatkan juga penyertaan mereka yang pakar (rakyat) ini apabila menjalankan sesuatu projek.

“Jika kita tak rujuk kepada pengguna, tentunya akan ada masalah. Pengguna itulah aset sebenar yang perlu kita raikan dan bincang dengan mereka,” katanya dalam satu kenyataan melalui Facebooknya hari ini.

Mengulas lanjut, Pakar Aeroangkasa itu berkata, langkah tersebut adalah selari dengan prinsip kedua dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030) iaitu Insan Berkualiti Sebagai Aset Terpenting Negeri.

“Insan berkualiti tidak semestinya mereka yang cerdik pandai. Istilah mudah kita kata, yang berkepakaran. Pakar bahasa, pakar bank, pakar ikan, pakar sawah dan sebagainya.

“Bukan semata-mata orang cerdik pandai saja menjadi aset kita tapi semua sebenarnya aset yang perlu kita guna di negeri Terengganu,” katanya.

Tambah beliau, contoh terdekat yang boleh dijadikan panduan adalah mengenai seorang penduduk kampung bernama Ayah Ku dan Pemuliharaan Taman Negeri Setiu Wetland.

“Dia orang kampung biasa. Apabila saya ke sana, Ayah Ku bercerita tentang tanah bencah ini termasuk spesis-spesis yang ada di situ lengkap dengan nama santifik.

“Cara dia bercerita membolehkan kita tengok bagaimana kesungguhan Ayah Ku, dia tak pergi universiti, bukan lulusan Oxford ataupun Harvard. Dia hanya orang biasa tetapi sangat berilmu dan golongan seperti adalah aset kita.

“Jadi, dalam apa jua projek dan agenda yang ingin dibuat di semua Pihak Berkuasa Tempatan, pihak berkepentingan perlu dekati dan bercakap dengan mereka, dapatkan pandangan mereka bagaimana ia sepatutnya berlaku,” jelasnya.

 


Tag: