• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Rumah Baharu Untuk Mangsa Banjir Hilang Kediaman - Maliaman

HULU TERENGGANU, 3 Mac - Kerajaan negeri memperuntukkan RM60,000 membina semula rumah kediaman  seorang penduduk yang musnah sepenuhnya akibat banjir di Kampung Belukar Bukit, Ajil baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata pembinaan rumah baharu berkenaan akan dibuat secepat mungkin selepas siap proses tanah dengan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Terengganu.

“Dengan jumlah peruntukan yang kita kira sederhana, rumah berkenaan  akan mempunyai tiga  bilik tidur, satu bilik air, dapur dan ruang tamu. 

“Proses pembinaan rumah dijangka bermula sebaik sahaja kelulusannya selesai dalam masa terdekat dan kita akan cuba selesaikan sebelum hari raya Aidilfitri ini,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI)selepas membuat tinjauan di kediaman mangsa banjir yang musnah secara keseluruhannya di Kampung Belukar Bukit, di sini hari ini.

Sementara itu, mangsa banjir, Endon Ismail, 67, berkata kejadian tersebut menyebabkan struktur bahagian luar rumahnya musnah, manakala di bahagian dalam rumahnya dipenuhi kayu dan lumpur.

Dia yang kini tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang bersyukur dengan berita gembira yang dibawa oleh Adun Ajil itu.

"Terima kasih yang tidak terhingga dan hanya Allah yang mampu membalas segala jasa ketika diuji dengan bencana ini.

"Dalam masa yang sama, mak cik terima ujian itu dengan redha walaupun kehilangan segalanya," ujarnya.