• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Rumah dan Kilang Keropok Rosak Teruk Dilanda Ribut

BESUT, 29 Oktober- Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut berdepan ujian apabila ribut kuat dan hujan lebat melanda petang semalam yang mengakibatkan banyak kerosakan rumah penduduk di sini.

Selain rumah penduduk, kilang keropok juga menerima nasib yang sama apabila dua buah kilang keropok di Kampung Kayu Kelat, Besut runtuh dilanda ribut yang sangat kuat.

Terdapat rumah penduduk di Kampung Lay Out Tok Saboh ditimpa pokok besar yang tumbang sehingga menyebabkan kerosakan teruk ke atas rumah tersebut.

Seorang mangsa Mohamad Noor Drahman, 71 ketika ditemui berkata kesemua atap rumahnya tercabut dan hanya tinggal syiling sahaja.

Musibah yang menimpa penduduk itu mendapat perhatian Pegawai  Penyelaras DUN Kuala Besut, Azbi Salleh yang meluangkan masa melawat mangsa ribut di Kampung Tok Saboh, Lay Out Tok Saboh, Kayu Kelat dan Alor Jejawi.

Katanya, Kampung Lay Out Tok Saboh, Kayu Kelat dan Tok Saboh antara yang terjejas teruk.

"Kepada manga-mangsa ribut sila laporkan kepada Pengerusi  Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) masing-masing untuk pihak Pusat Khidmat DUN mengambil tindakan segera.

"Kita akan mengutamakan rumah-rumah penduduk terlebih dahulu untuk dibaiki supaya penduduk mempunyai tempat untuk berlindung.

"Saya berharap semua mangsa bersabar dengan ujian Allah ini dan kita sama-sama menyelesaikan dengan secepat mungkin", ujarnya.

 


Tag: