• 09 Mei 2024 | 1 Zulkaedah 1445

Rumah Guru Besar Musnah Terbakar


Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 1 Januari- Tragedi pilu menimpa seorang guru besar apabila rumah yang didiami bersama keluarga di Kampung Bukit Tempurung, di sini, hangus dijilat api, kelmarin.

Ketika kejadian kira-kira-kira jam 2.30 petang, mangsa Mohamad Noor Mat Hassan, 58, berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Rendah Tempinis, Jabi, sedang berehat selepas menunaikan solat Zuhur sebelum dikejutkan dengan api yang membakar sebahagian besar dalam rumahnya.

Difahamkan, mangsa sudah cuba memadamkan api namun gagal berikutan api marak dengan tiba-tiba sebelum menghubungi pasukan penyelamat.

Susulan kejadian itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim menzahirkan rasa simpati terhadap ujian yang menimpa mangsa dan berharap mangsa tabah mengharungi  dugaan di hujung 2018 itu.

"Takziah diucapkan kepada Cikgu Noor. Bersabarlah di atas ujian yang menimpa. Semoga Allah menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau lokasi tragedi dan menghulurkan sedikit sumbangan bagi meringankan beban mangsa sejurus menerima berita mengenai kebakaran itu.


Dr Azman juga menasihatkan kepada orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mementingkan keselamatan kediaman terutama ketika meninggalkan rumah tanpa pengawasan.

"Sebelum meninggalkan rumah, pastikan keadaan sekeliling dapur, perkakas elektrik dan lain-lain berada dalam keadaan selamat.

" Punca kejadian ini kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan. Kita cuba memastikan Jabatan Kebajikan Masyarakat menyelesaikan dokumen permohonan bantuan gantian rumah,"katanya.




Tag: