• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Rumah Mampu Milik Baharu Bakal Miliki Garaj

Dr Alias Razak (kiri) ketika ditemui pemberita dalam sidang media sebagai mewakili Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar selepas Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri.
KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri akan merealisasikan perancangan membina 20,000 Rumah Mampu Milik (RMM) seperti mana dalam manifestonya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu secara berperingkat bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat memiliki kediaman yang lebih selesa.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, bagi memastikan hasrat dan janji kerajaan itu dicapai, sebanyak 710 unit rumah akan dibina tahun ini di empat lokasi yang telah dikenal pasti.

“Majlis Mesyuarat kerajaan Negeri yang lalu telah meluluskan empat tapak untuk RMM di empat daerah iaitu di Kampung Tok Jembal (Kuala Nerus), Kampung Tempinis (Besut), Kampung Gong Cengal (Kemasik) dan Kampung Tajin (Hulu Terengganu).

“Perbadanan Memajukan Ikstisad Negeri Terengganu (PMINT) dilantik sebagai pelaksana projek dan satu bengkel telah diadakan bagi memuktamadkan pelan, struktur, saiz rumah dan sebagainya supaya semua rumah yang bakal dibina sama dan selesa untuk didiami,” ujarnya.



Beliau berkata demikian dalam sidang media sebagai mewakili Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar selepas Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, hari ini (3 Oktober).

Katanya, penambahbaikan turut dilakukan di mana RMM yang bakal dibina beserta dengan garaj kereta. Tender terbuka terhadap pembinaan rumah ini akan dikeluarkan selewatnya November depan.

“Ini adalah antara komitmen kerajaan negeri untuk membantu golongan berpendapatan rendah khususnya yang berpendapatan RM3,500 ke bawah memiliki kediaman sendiri.

“Walaupun dibina garaj kereta, tetapi harga rumah tetap sama iaitu RM68,000 selepas subsidi dengan komitmen bulanan hanya sekitar RM180 hingga RM200 yang perlu dibayar oleh pemilik rumah mampu milik ini,” ujarnya.




Tag: