Rumah Pengerusi UMNO Musnah Terbakar, ADUN Salur Bantuan Segera

KUALA NERUS, 17 Jun – Hasrat membawa keluarga bercuti ke Pulau Redang bertukar menjadi detik duka apabila rumah milik Ahmad Kamarul Aslam, 40, atau lebih dikenali sebagai Mamat Wook, musnah hampir keseluruhannya dalam satu kebakaran yang berlaku ketika ketiadaan mereka di rumah.

Kejadian menyayat hati itu melibatkan kediaman beliau di Kampung Banggol, yang hanya tinggal rangka setelah dijilat api.

Mamat Wook yang juga Pengerusi UMNO Kampung Banggol, difahamkan sedang bercuti bersama ahli keluarga ketika insiden berlaku, mujurlah, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Prihatin dengan musibah yang menimpa, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail segera turun padang menziarahi mangsa dan menyampaikan sumbangan awal bagi meringankan beban yang ditanggung keluarga berkenaan.

“Saya telah berhubung dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Tabung Darul Iman serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) untuk menyegerakan bantuan, sama ada dalam bentuk segera atau one-off,” ujar beliau.

Tambah beliau, pihaknya akan terus memantau keadaan dan bekerjasama rapat dengan agensi terlibat agar keluarga ini mendapat pembelaan sewajarnya.

Dalam masa sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang tampil menghulurkan bantuan dan sokongan moral kepada keluarga mangsa.

“Saya amat tersentuh melihat keprihatinan pelbagai pihak yang turut turun membantu. Doa kita bersama agar Ahmad Kamarul dan keluarganya terus diberi ketabahan dalam menghadapi ujian besar ini,” katanya.

 


Tag: