• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Rumah Reput, Warga Emas Terima Kediaman Baharu

SETIU, 27 Mac - “Paling membimbangkan saya sekiranya hujan, ia mengakibatkan atap zink bocor dan dinding kayu banyak yang reput, rumah akan selalu basah," luah Rokiah Ibrahim atau Kak Yah, 70, dari Kampung Banggol di sini.

Kata ibu tunggal itu, rumah yang didiaminya sebelum ini terbiar dan bertambah usang, manakala lantai dan dinding pula reput akibat dimakan anai-anai.

"Saya tidak mampu membaikinya kerana hanya bergantung pada pemberian wang oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM200 sahaja,” kata Kak Yah kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) sebelum menerima rumah baharu di bawah Bantuan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Rakit baru-baru ini.

Jelas Rokiah, dia berasa amat lega dan bersyukur selepas ada pihak yang sudi membantu dan membina sebuah rumah baharu yang lebih selesa dan selamat.

“Terima kasih kepada semua pihak yang sudi membantu ‘menghadiahkan’ saya sebuah rumah baharu.

"Walaupun rumah ini kecil tetapi ia mempunyai bilik yang memberi keselesaan kepada saya.

 “Syukur kepada Allah SWT, jika dahulu saya tinggal di rumah usang  kini kehidupan saya lebih selesa setelah menerima sumbangan rumah baharu daripada Kerajaan Terengganu," ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, perancangan awal adalah untuk membaik pulih rumah Kak Yah dengan menggunakan Bantuan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Rakit.

Namun katanya, selepas melihat pelbagai faktor pihaknya berpendapat sebuah rumah baharu perlu dibina.

“Pembinaan rumah ini memakan masa selama tiga minggu bermula pada 20 Februari dan siap sepenuhnya pada 5 Mac lalu,” katanya.


Tag: