• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Rumah Terbakar, Sekeluarga Tinggal Sehelai Sepinggang

Rumah Mahusin terbakar seratus peratus  dalam kejadian awal pagi semalam



Oleh : Saifullah Jusoh

BESUT 28 Oktober– Sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka di Kampung Gong Manok di sini musnah dalam kebakaran awal pagi semalam.

Mahusin Ibrahim, 59, berkata, ketika kejadian berlaku, dia berada di tempat kerja terpaksa bergegas pulang apabila dihubungi oleh penduduk kampung yang memaklumkan tentang kejadian malang tersebut.

Kejadian yang berlaku pada jam 8 pagi disedari oleh anak perempuannya, Maslinda Mahusin yang tinggal bersama dua orang anaknya apabila menyedari api mula marak.

“Api berpunca dari dalam bilik, dan hanya sempat melarikan diri dengan dua orang anak saya tanpa sempat untuk menyelamatkan barang-barang yang lain.

“Saya hanya mampu melihat saja rumah terbakar, dan sedih kerana tidak sempat menyelamatkan apa - apa termasuk semua dokumen penting, pakaian, perabot dan peralatan dapur musnah dalam kejadian itu tapi bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku dan kami sekeluarga berjaya menyelamatkan diri,”katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman(UPDI) ketika ditemui di tapak kebakaran, di sini semalam.



Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Haji Azbi Salleh meluangkan masa menziarahi mangsa dan keluarga di samping menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban yang ditanggung.

Katanya lagi, pihaknya akan mengambil tindakan yang segera bagi membantu meringankan beban mangsa dengan menyediakan tempat tinggal baharu manakala pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Gong Manok pula mengadakan gotong-royong bagi membina penempatan sementara kepada mangsa dan keluarga.


Tag: