• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

‘Rumah Terengganu’ Bakal Dibuka Di China Awal Tahun Hadapan

Presiden OSTeC 16/17 Satria Asyraf (tengah) menyampaikan cenderamata kepada Ahmad Razif sempena Majlis Makan Malam OSTeC (Persatuan Pelajar Terengganu Luar Negara) 2017 di Duyong Marina & Resort, Kuala Terengganu malam tadi. Foto Oleh: Zulkifli C.W.Putra
Kerajaan negeri bakal membuka sebuah pusat pelancongan Terengganu di Shanghai, China awal tahun hadapan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, projek pembinaan 'Rumah Terengganu', sebuah pusat pameran untuk mempromosikan produk dari Terengganu, di daerah Huaxi (kampung terkaya di China) itu akan dimulakan Oktober ini.

“Proses reka bentuknya sudah siap, Insya-Allah bulan 10 ini kita akan mula projek untuk bina ‘Rumah Terengganu’ di Huaxi dimana pelancong yang berkunjung di kawasan tersebut tidak kurang daripada 50,000 orang seminggu,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Makan Malam OSTeC (Persatuan Pelajar Terengganu Luar Negara) 2017 di Duyong Marina & Resort, Kuala Terengganu malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A. Latif Awang dan Pengarah YT, Ishamudin Hashim.

Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri juga akan membuka cawangan Chicken Cottage baharu di Jerman.

“Setakat ini, kita mempunyai 92 buah rangkaian Restoran Chicken Cottage seluruh dunia.
“Insya-Allah, bulan depan kita akan membuka cawangan yang ke 93 di Jerman,” ujarnya.


Dalam pada itu, Ahmad Razif turut mengingatkan pelajar yang hadir pada majlis tersebut supaya fokus dengan apa yang dilakukan terutamanya melibatkan pembelajaran masing-masing.

“Jangan ada rasa kurang yakin dengan kewibawaan diri, letakkan sasaran apa yang ingin kita capai dan usah terpengaruh dengan unsur-unsur yang cuba mengadu domba dan cuba memburukkan sesama kita yang akhirnya akan merugikan kita dan negeri,” ujarnya.

Tag: